PENGENALAN

Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) adalah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam (NGO-i), berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) No. Pendaftaran PPM-003-10-06072006.

Pertubuhan ini bergerak aktif menjalankan pelbagai aktiviti seperti berikut:

1) Pusat Perlindungan dan Rawatan Astana Budi

Astana Budi merupakan sebuah rumah perlindungan dan rawatan khusus kepada pesakit HIV lelaki. Astana Budi juga merupakan sebuah tempat pemulihan Asnaf al-Riqab bagi Orang dengan HIV/AIDS (ODHA) beragama Islam. Astana Budi juga menerima golongan asnaf yang lain seperti asnaf muallaf, fakir, miskin dan fisabilillah yang dirujuk oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Kos operasi pusat perlindungan ini dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan bantuan ahli persatuan. Dalam tempoh 2009 hingga kini, Astana Budi telah menerima hampir 300 orang pesakit HIV/AIDS yang terdiri dari pelbagai latarbelakang lapisan masyarakat.

2) Pusat Rawatan Islam Manarah

Pusat Rawatan ini diasaskan oleh Yang Berbahagia Tuan Guru Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi selaku Yang DiPertua BUDI sejak tahun 1997 atau 25 tahun yang lalu. Kaedah rawatan berasaskan teknik tepukan, pukulan menggunakan ranting nona, bacaan ruqyah ayat manzil, dan mandian ais batu dan beberapa kaedah lain. Kaedah ini juga dinamakan Rawatan Refleksologi Spritual Islam (RSI).

Berdasarkan sejarah, Pusat Rawatan ini telah bermula secara kecil-kecilan di kediaman YDP BUDI di A91, Kg Melayu Sri Kundang, Rawang dan setelah pesakit meningkat pusat Rawatan telah berpindah ke Dewan Makan Masjid Nurul Yaqin Kg Melayu Sri Kundang Rawang dan kemudian berpindah ke Lot 2891, Lorong Beringin, Batu 17 Kuang berkongsi dengan Pusat Perlindungan Astana Budi. Bermula Ogos tahun 2022 Pusat Rawatan telah berpindah ke bangunan barunya berukuran 4,800 kaki persegi yang terletak berdekatan atau di belakang bangunan Astana Budi. Pusat rawatan ini juga mempunyai cawangan di beberapa negeri Kuala Terengganu, Kuantan, Johor Bahru, Ipoh dan lain-lain.

Kaedah rawatan spritual Islam yang diasaskan oleh YDP BUDI ini telah diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan terbangunnya Modul Istitabah MAIS yang memuatkan kaedah rawatan Manarah di dalamnya. Pengiktirafan juga telah diberikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui surat pekeliling Ruj.JAI.SEL.BMP/01/010/15 Jld3 bertarikh 16 Ogos 2019. RSI ini juga bertambah cemerlang dan menyakinkan dengan kejayaan YDP BUDI lulus di peringkat Doktor Falsafah kali kedua bagi tajuk Modul Rawatan Spritual Islam di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

3) Pusat Tahfiz dan Dakwah Manarah

Pusat Tahfiz dan Dakwah ini terletak di satu kawasan tanah yang telah diamanahkan kepada YDP BUDI dan beberapa orang ahli jawatankuasa di Kampung Gadong Lama Labu Negeri Sembilan.

4) Institut Latihan Ilmu Tarekat (ILIT) Manarah

Institut ini lebih dikenali sebagai ILIT Manarah dan diasaskan oleh Yang DiPertua BUDI. ILIT Manarah terletak di Kampung Parit Seberang, 72000 Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada tanggal 27 Februari 2020/03 Rejab 1441H Institut Latihan Ilmu Tarekat Manarah telah diluluskan pendaftarannya melalui Jawatankuasa Fatwa sebagai pusat amalan Tariqat Nasyabandiyyah Khalidiyyah di bawah pimpinan Y.Bhg. Dr Hj Jahid bin Hj Sidek al-Khalidi yang berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 berdasarkan surat JMKNNS BTT.070-2/1 ( 40 ). Pelbagai aktiviti dakwah telah berjaya dijalankan di sini dan khususnya Program pembangunan kerohanian atau Ibadah Khalwah, Uzlah atau Suluk telah dipimpin oleh Yang Dipertua BUDI sendiri sebagai murysid sebanyak 70 kali.

Sumbangan Yang DiPertua BUDI dalam bidang ilmu tasawuf dan tarekat antaranya ialah Ahli Panel Tasawuf JAKIM, Ahli Jilsah Turuq Sufiyyah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan lain-lain.

5) Dakwah Islamiah & Manarah Studio

Aktiviti Dakwah merupakan teras, tunjang dan nadi kepada Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI). Pelbagai aktiviti telah dijalankan sepanjang tempoh 30 tahun dengan simposium, seminar, kursus dan kuliah di pelbagai lokasi, peringkat dan kerjasama samada pihak kerajaan mahupun swasta. Antara fokus dan kepakaran yang dimiliki oleh BUDI adalah dalam bidang tarekat dan tasawuf, rawatan dan pengubatan spiritual Islam dan pemulihan asnaf ar-riqab.

Kekuatan aktiviti dakwah secara fizikal adalah YBhg Tuan Guru Dr Hj Jahid bin Hj Sidek selaku Yang DiPertua BUDI sendiri yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah sejak 1974 dan telah pencen sebagai Prof Madya di Jabatan Dakwah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada tahun 1995. Terdapat sejumlah ahli yang terdiri daripada pensyarah di pelbagai IPTA/S seluruh Malaysia juga memainkan peranan menyumbang dalam pelbagai bidang dan kepakaran.

Di antaranya Prof. Madya Dr Ahmad Naja Mokthar (USIM), Prof. Madya Dr Syed Hadzrullatfi Syed Omar (UniSZA), Dr Ahmad Baha Mokthar (UNISSA), Dr Ashraf Ramli (USIM), Dr Abdullaah Jalil (USIM), Ustaz Mohd Nasir Mohd Tap (Darul Hikmah), Ustaz Ahmad Atoa Mokhtar (UIS), Ustaz Hj Mohd Abadi Amir (LZS), Ustaz Hj Suhaimi bin Hj Daud (Pondok Manazil Siddiqin Dungun), Ustaz Hj Zulkifli (Madrasah Durrul Ilmi Kuantan Pahang) dan ramai lagi pensyarah dan asatizah yang terlibat dalam membangunkan ummah.

Selain dakwah secara fizikal, di bawah seliaan Biro Dakwah, BUDI juga mempunyai sebuah sebuah studio yang lengkap bernilai RM26,500 dinamakan Manarah Studio yang terletak di sebuah bilik Pusat Rawatan Islam Manarah yang baru. Berfungsi sebagai saluran dakwah melalui mediasosial seperti facebook, youtube, tiktok, dan lain-lain medium. Kegiatan bermula secara aktif apabila dakwah fizikal tidak dapat dilaksanakan ketika fasa PKP akibat covid-19.

TABUNG WAQAF BUDI

Terkini pihak BUDI merayu kepada muslimin dan muslimat untuk Tabung Waqaf BUDI bagi pembelian 2 ekar tanah bernilai RM2 juta di Lot 2891, Lorong Beringin, Batu 17 Kuang, 48050 Rawang, Selangor Darul Ehsan bagi pembinaan Pusat Tahfiz dan Pusat Penjagaan Warga Emas yang baru. Pembelian tanah tersebut juga bagi mengekalkan Pusat Perlindungan Astana Budi dan Pusat Rawatan Islam Manarah yang telah beroperasi di atas tanah tersebut hampir 25 tahun. Untuk pengurusan bayaran sila ke alamat berikut

https://toyyibpay.com/binabudi & https://binabudi.onpay.my/order/form/waqaftanah

Semoga BUDI sentiasa diberikan kekuatan dan petunjuk daripada Allah SWT dalam perjalanan mencapai matlamat dan objektifnya. BUDI juga sentiasa memerlukan segala bentuk sumbangan wang ringgit dalam menjalankan segala objektif dan matlamat juga pandangan bernas serta membina daripada seluruh umat Islam. Segala sumbangan wang ringgit atau cek boleh disalurkan ke no. akaun 14-023-01-003574-7 BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD (BIMB) atas nama PERSATUAN KEBAJIKAN BINA BUDI MALAYSIA. Semoga Sumbangan anda mendapat ganjaran pahala dan keredhaanNya. Sekian, Terima kasih.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi

YBHG USTAZ MOHD NASIR BIN MOHD TAP 

Setiausaha, Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI) 

Tel : +6019-368 2659


Persatuan Kebajikan Bina Budi Malaysia (BUDI), Astana Budi@Manarah, Lot 2891, Lorong Beringin, Batu 17 Kuang, 48050 Rawang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Sila hubungi kami di talian +603-6038 3906 atau emailkan ke binabudi@gmail.com

Leave a comment